Skip to main content

Malaysia

KUSKOP agih RM906 juta bawah DEWI, manfaatkan 106,100 usahawan wanita

BUKIT MERTAJAM, 11 April -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong (tengah) pada gimik perasmian Heartrade Expo X Dewi Preview Session di sebuah hotel hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sim (tengah) pada gimik perasmian Heartrade Expo X Dewi Preview Session di sebuah hotel hari ini. - Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah mengagihkan RM906 juta pembiayaan di bawah inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) sejak dilancarkan bulan lalu, memanfaatkan 106,100 usahawan wanita di seluruh negara setakat ini.

Menterinya, Steven Sim berkata inisiatif itu, yang diperkenalkan sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, menggerakkan kumpulan pembiayaan berjumlah RM3 bilion merentasi empat agensi utama untuk menyokong sehingga 300,000 usahawan wanita.

Advertisement

Katanya, empat agensi berkenaan yang berada di bawah kementerian ialah TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat dan SME Bank.

“Amanah Ikhtiar Malaysia, yang memberi tumpuan kepada usahawan mikro seperti perniagaan di rumah, mempunyai peruntukan terbesar kira-kira RM2.7 bilion, menawarkan pinjaman sehingga RM30,000 setiap pemohon dengan RM880 juta diagihkan setakat ini.

“Sementara itu, Bank Rakyat melalui skim BizLady-i, menyediakan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar faedah kira-kira lima peratus, dengan saiz dana berjumlah RM30 juta. Setakat ini, kami telah memberikan RM4.5 juta,” katanya pada forum Sesi Pratonton Ekspo HERTrade x DEWI di sini hari ini.

Sim menambah, skim SME Lady 2.0 SME Bank, dengan jumlah dana RM50 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM3 juta bagi setiap pemohon pada kadar faedah kira-kira lima peratus, dengan hampir RM5.5 juta telah diagihkan setakat ini.

Sementara TEKUN Nasional yang memfokuskan usahawan Bumiputera pula telah mengeluarkan sejumlah RM16 juta daripada peruntukan RM20 juta untuk usahawan wanita dengan pembiayaan sehingga RM30,000 bagi setiap pemohon.

“Secara keseluruhan, merentasi empat agensi itu, kami telah mengagihkan lebih RM900 juta dalam bentuk pembiayaan, memanfaatkan 106,100 usahawan wanita.

“Ini bermakna masih terdapat kira-kira 70 peratus daripada peruntukan sedia ada yang masih belum digunakan dan kami menggalakkan lebih ramai usahawan wanita untuk memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang disediakan,” katanya.

Sim mengumumkan inisiatif DEWI pada 5 Mac semasa majlis pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di Kuala Lumpur.

DEWI adalah manifestasi komitmen KUSKOP bagi memperkasakan usahawan wanita di seluruh negara, di samping melahirkan lebih ramai 'wanita besi' yang berdaya saing dalam perniagaan, ia menyasarkan 300,000 usahawan wanita yang boleh mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.

—BERNAMA

Must Watch Video