Garis panduan khas bagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir yang akan diguna pakai sepanjang tempoh pelaksanaan Perintahan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah pun diedarkan kepada jabatan yang berkenaan pada 6 Julai lepas.

Timbalan Menteri (Tugas-tugas Khas) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datin Mastura Mohd Yazid berkata ia sebagai panduan mengurus dan mengendalikan PPS bagi mencegah penularan COVID-19 di pusat berkenaan.

''Garis panduan ini merupakan kesinambungan daripada Peraturan Tetap Operasi (PTO) pusat pemindahan sedia ada yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

''Sekiranya kejadian bencana merebak sehingga boleh mencetuskan krisis kepada keselamatan negara atau gangguan kepada ketenteraman awam di seluruh negara, pengurusan keseluruhan krisis ini akan diambil alih oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini, semalam.

Jelasnya, ia akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan digerakkan menerusi jawatankuasa di bawah MKN yang diwakili oleh menteri dan pegawai-pegawainya.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sentiasa ambil langkah proaktif untuk pastikan kesiapsiagaan semua pihak berada dalam tahap terbaik untuk menangani bentuk bencana terutama banjir.

"Nadma dengan kerjasama sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah sentiasa menyelaras perancangan persediaan bencana sepanjang tahun," katanya.

Mastura berkata melalui pengurusan ini, kesiapsiagaan dan isu pengurusan seperti logistik, penggemblengan aset dan sumber bersepadu kementerian dan agensi dibincang secara menyeluruh.

Menurutnya, sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini, antara perancangan yang dilakukan ialah mengadakan mesyuarat pengurusan bencana pusat pada 28 Sept ini serta penyaluran peruntukan awal kepada setiap jawatankuasa pengurusan bencana negeri bagi menghadapi monsun timur laut.

Selain itu, penyampaian hebahan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) juga akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi bagi tujuan memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan yang diramalkan berlaku banjir.

Persidangan Dewan Negara ditangguhkan dan akan disambung Isnin depan.

-- BERNAMA