Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka melakukan siasatan ekoran isu kekurangan kerusi dan meja sehingga memaksa ibu bapa membeli kelengkapan berkenaan bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat tempat di sekolah-sekolah tertentu di negeri itu.

Pengarahnya, Dr Mohd Azam Ahmad berkata pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat guru mahupun pihak sekolah mengeluarkan arahan bertentangan dengan dasar kementerian berkenaan.

Mengakui isu berkenaan sebagai isu terpencil, katanya berdasarkan laporan awal yang diterima, isu tersebut berlaku apabila pihak ibu bapa membuat rayuan bagi penempatan anak mereka ke sekolah berbeza daripada sepatutnya pada saat akhir sebelum sesi persekolahan bermula.

Jelasnya, empat asas pembukaan sekolah iaitu bangunan, kerusi dan meja, buku teks dan guru sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pada siasatan awal terhadap dua sekolah yang didakwa mendapati, pengetua dan guru besar memaklumkan pihak sekolah tidak pernah memaksa, malah ibu bapa membeli secara sukarela bagi memastikan penempatan anak mereka di sekolah berkenaan.

“Saya nak tegaskan di sini pada pengetua dan guru besar, insya-Allah minggu depan saya akan berjumpa dengan pengetua dan saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan sekiranya ada arahan yang bertentangan dengan dasar yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra hari pertama sesi persekolakan tahun 2020 di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu Dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, yang turut dihadiri Exco Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effendi Ahmad.

Mengulas lanjut ujar Mohd Azam, beliau juga akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) jika membabitkan keperluan murid dan ibu bapa selain bertegas dengan ketetapan jumlah penempatan murid sekolah.

Sementara itu, Noor Effendi berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan sepenuhnya bagi memastikan segala kelengkapan sekolah mencukupi dan bukan ibu bapa.

“Siasatan dalaman akan kita jalankan. Seperti yang kita maklumkan, dia (kes itu) amat terpencil dan sehingga hari ini saya mendapat laporan hanya (berlaku) dua sekolah sahaja, satu sekolah menengah dan satu sekolah rendah.

“Jadi amat terpencil, tetapi saya katakan ini bukan dasar kementerian atau jabatan atau pun pihak sekolah. Tidak ada dasar kata ibu bapa kena beli kerusi meja, kerana (di) sekolah kerajaan kerusi meja (merupakan) tanggungjawab kita tetapi apa yang berlaku ini mungkin salah faham (dari) mulut guru-guru tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam jawapan ringkasnya ketika mengadakan lawatan ke sekolah di ibu negara hari ini, berkata pihak JPN akan melihat perkara itu secara serius.