Skip to main content

Malaysia

JS-SEZ: Kalau nak 'claim' kredit, semua orang boleh 'claim' - Tengku Zafrul jawab Rafizi

Tengku Zafrul, PRN Johor. Kredit: AWANI
Tengku Zafrul ditemui media selepas sarapan pagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Johor Bahru pada Ahad. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz secara sinis menyifatkan semua pihak boleh 'menuntut kredit' atas kejayaan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Bagaimanapun, bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu menegaskan fakta menunjukkan inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Tegas beliau lagi, isu berkenaan juga tidak seharusnya dipolitikkan kerana kejayaan zon ekonomi khas itu merupakan hasil pendekatan "whole-of-nation".

"JS-SEZ, kalau nak 'claim' kredit, semua orang boleh 'claim' kredit. Tetapi pada masa yang sama, kita kena berdasarkan fakta, di mana JS-SEZ ini adalah satu inisiatif di peringkat Kerajaan Persekutuan, bersama juga berbincang dengan Kerajaan Negeri.

"Penglibatan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan kementerian-kementerian berkaitan seperti MITI, Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Imigresen, Kementerian Ekonomi dan kementerian lain. Jadi, tidak hanya satu kementerian yang terlibat menjayakan JS-SEZ ini," katanya ketika ditemui media selepas sarapan pagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Johor Bahru pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa MITI di bawah pimpinan Tengku Zafrul sebelum ini, antara yang menentang usaha melaksanakan JS-SEZ.

Pada 7 Jan 2025, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian bagi membentuk JS-SEZ, sebuah projek pembangunan mega untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu berkata, pelbagai insentif yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan turut menyumbang kepada peningkatan pelaburan di Johor.

Jelasnya, Negeri Johor merekodkan pelaburan berjumlah RM110 bilion pada 2025, termasuk RM77 bilion yang direalisasikan dalam koridor JS-SEZ.

"Memang penglibatan Kerajaan Negeri tidak boleh dinafikan. Tetapi yang penting ialah tidak boleh mempolitikkan isu ini, kerana Kerajaan Persekutuan bersama agensi-agensi dan kementerian berkaitan, semua bergerak dalam pendekatan "whole of nation".

"Kerajaan Negeri Johor juga memang membantu di bawah zon pertama dalam memastikan apa yang dibuat itu berjaya termasuk dari segi pelaburan," ujar Tengku Zafrul lagi.

Sementara itu, mengulas sambutan pengundi muda terhadap Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Tengku Zafrul menyifatkan sokongan kumpulan itu sebagai amat menggalakkan, khususnya di beberapa kawasan tumpuan.

"Saya menyeru semua golongan muda supaya keluar mengundi pada 11 Julai. Pada masa yang sama, saya juga berharap mereka yang berada di luar Kuala Lumpur pulang untuk mengundi, terutama golongan muda yang saya lihat memberi sokongan kuat kepada PH," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal dijadual pada 7 Julai.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement