MALAYSIA
JS-SEZ tonggak utama ekonomi Johor hasil kerjasama Persekutuan dan negeri - Onn Hafiz

Onn Hafiz (kiri) ketika melafaz ikrar pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas hari ini. - Foto Bernama
MUAR: Kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadikan inisiatif itu sebahagian daripada tonggak utama kejayaan ekonomi Johor.
Ringkasan AI
- JS-SEZ sebagai pemacu ekonomi Johor: Kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan negeri menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menyumbang kepada pelaburan RM30.1 bilion dan pertumbuhan KDNK Johor sebanyak 6.4% melepasi paras nasional.
- Sokongan kerajaan Persekutuan kepada rakyat: Perdana Menteri mengumumkan inisiatif seperti pemberian RM100, penurunan harga RON95 dan program bantuan seperti Bakul Kasih, Jualan Kasih serta pembinaan rumah mampu milik.
- Muar sebagai simbol sejarah dan patriotisme: Pemilihan Muar sebagai lokasi Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan 2025 disifatkan sebagai penghargaan kepada sejarah kemerdekaan dan tokoh-tokoh pejuang negara dari Johor.
"Ini bukan angka kecil, ini membuktikan Johor bukan sekadar menjadi pemacu ekonomi di selatan tanah air, malah antara negeri peneraju pertumbuhan negara.
"Justeru, kita di peringkat Johor ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Johor," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Anwar di atas pengumuman inisiatif yang diumumkan untuk rakyat baru-baru ini iaitu termasuk pemberian RM100 secara sekali beri dan penurunan harga petrol RON95.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman itu.
"Kita di Johor, selari dengan Persekutuan dengan (pemberian sumbangan) seperti Bakul Kasih, Jualan Kasih, Dapur Kasih, pembinaan rumah mampu milik, bantuan kepada hospital dan pelbagai lagi," katanya.
Onn Hafiz pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kerajaan memilih Johor khususnya Muar sebagai tuan rumah Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.
Beliau berkata Muar yang juga lokasi sejarah kemerdekaan disemai, melahirkan tokoh-tokoh penting yang membuka jalan kepada pembentukan negara bangsa termasuk Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh.
"Mereka bukan sahaja berani tetapi jujur dalam perjuangan dan tulus dalam khidmat mereka untuk tanah air.
"Maka, apabila Johor dan khususnya Muar dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan tahun ini, saya percaya ini bukan satu kebetulan. Ini adalah satu penghargaan kepada sejarah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami