KOTA BHARU: Hasil jualan produk yang dihasilkan oleh penghuni penjara kini mencecah nilai hampir RM20 juta setahun.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Datuk Nordin Muhamad berkata produk-produk berkenaan ternyata mempunyai kualiti tersendiri dan berupaya menjadi yang terbaik sekiranya diketengahkan.

Justeru, beliau berkata pelaksanaan Jualan MyPride Fest yang sedang berlangsung, menawarkan produk yang berkualiti tinggi selain harga yang berpatutan hasil tangan penghuni tirai besi itu.

"Program yang diadakan ini diharap dapat membantu mendekatkan Jabatan Penjara dengan pengunjung daripada pelbagai golongan.

"Antara produk yang boleh didapati adalah terdiri daripada (produk) besi, kayu, makanan dan fabrik batik, songket dan Tenun Pahang yang telah terkenal sebelum ini," katanya selepas merasmikan Jualan MyPride Fest Peringkat Zon Timur 2023, di sini hari ini.

Nordin berkata pihaknya menawarkan program keusahawanan iaitu melatih penghuni dengan kemahiran bagi menyokong ekonomi mereka selepas bebas, sekali gus mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang lebih maju dan berdaya saing.

"Sekarang kita mempunyai hampir 80,000 penghuni manakala hampir 10,000 dibebaskan setiap bulan.

"Daripada jumlah yang dibebaskan itu kita menyasarkan 6,000 daripada mereka berjaya dibantu dengan menyediakan peluang pekerjaan serta kemudahan penginapan yang bersesuaian kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA