KABUL: Sekurang-kurangnya 160 orang terkorban dan 117 lagi cedera akibat hujan ribut serta banjir kilat yang melanda sebahagian besar Wilayah Baghlan, Takhar, Badakhshan dan Ghor di Afghanistan, menurut pegawai tempatan pada Sabtu, lapor Xinhua.

"Banjir kilat baru-baru ini melanda kebanyakan bahagian wilayah termasuk Daerah Gozargah-e-Noor, Jelgah, Nahrin, Dushi, Baghlan-e-Markazi, Dahna-e-Ghori, Tala-o-Barfak, dan Barka, serta ibu kota Wilayah Pul-e-Khumri, mengorbankan 130 orang dan mencederakan 100 yang lain," kata Jurucakap Gabenor Baghlan, Mullah Alam Majidi, pada Sabtu.

Majidi berkata bencana alam ini kebanyakannya menjejaskan penduduk tempatan di Daerah Barka dan Baghlan-e-Markazi serta angka korban dijangka meningkat.

Sementara itu, media asing memetik Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai berkata lebih 200 orang maut dan ribuan rumah musnah atau rosak di Baghlan.

Ribut dan banjir turut menyebabkan 20 orang maut dan 14 cedera di Daerah Namak Ab, Ishkamish, Farkhar dan Kafgan di Wilayah Takhar, kata Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Takhar, Ahmad Sir Sajid, pada Sabtu.

Beliau berkata 300 rumah serta kemudahan elektrik dan komunikasi turut rosak teruk.

Tujuh orang terkorban dan tiga lagi cedera selepas banjir kilat melanda Daerah Chaharsada, Murghab, Saghar, Al-Farouq, Tewara, dan Bandar Firoz Koh, ibu kota Wilayah Ghor di barat, kata Jurucakap Gabenor Ghor, Abdul Wahid Hamas.

Di samping itu, tiga orang maut dan dua lagi hilang akibat hujan ribut dan banjir di kebanyakan kawasan di utara Wilayah Badakhshan, lapor Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Badakhshan, Mawlawi Mohammad Akram Akbari.

Afghanistan telah mengalami hujan lebat dan banjir sepanjang bulan lepas, menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

--BERNAMA-XINHUA