KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri mencatatkan sedikit penurunan tengah hari ini dengan 14,388 orang ditempatkan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 16,118 orang di 70 PPS pagi tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 13,529 orang yang ditempatkan di 38 PPS di empat daerah.

Menurut laporan itu, di Pasir Mas sejumlah 20 PPS dibuka yang menempatkan 9,449 mangsa membabitkan 3,112 keluarga, 10 PPS di Tumpat (3,239 mangsa daripada 1,145 keluarga), empat PPS di Kuala Krai (90 mangsa daripada 21 keluarga) dan empat PPS di Jeli membabitkan 751 mangsa daripada 199 keluarga setakat 12 tengah hari ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa berkurangan kepada 659 orang daripada 181 keluarga yang berlindung di sembilan PPS tengah hari ini di dua daerah iaitu Dungun dan Kuala Terengganu, berbanding 735 orang daripada 199 keluarga, pagi tadi.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula pada tengah hari ini kekal membabitkan 55 mangsa daripada 15 keluarga yang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat.

Bagaimanapun di Pahang, mangsa banjir yang dipindahkan meningkat sedikit kepada 145 mangsa daripada 40 keluarga tengah hari ini berbanding 138 mangsa daripada 39 keluarga pagi tadi dan ditempatkan di enam PPS di daerah yang terjejas iaitu Bera, Maran dan Temerloh.

Sementara itu, laporan itu juga memaklumkan jumlah mangsa bagi insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal 87 orang daripada 17 keluarga yang masih berlindung di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Golok di Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Jeli berada pada paras bahaya setakat tengah hari ini.

Selain itu, dua sungai di Terengganu iaitu Sungai Terengganu, Kuala Terengganu dan Sungai Dungun, Dungun, masing-masing satu di Perak iaitu Sungai Perak, Hulu Perak dan di Perlis membabitkan Sungai Arau, Arau juga berada pada paras bahaya.

Laporan berkenaan juga menyebut terdapat 47 jalan ditutup akibat insiden banjir, jambatan rosak/runtuh dan tanah runtuh.

Antara jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor, Jalan Jeli-Dabong (Kelantan), Jalan Bukit Besi-Dungun (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga Sintok, Kedah.

-- BERNAMA