KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor menurun kepada 1,340 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,684 orang pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa tertinggi direkodkan di Terengganu dengan 1,283 orang dan ditempatkan di 12 PPS di Dungun.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula menurun mendadak daripada 235 kepada 29 orang dan ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi manakala di Pahang 28 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Rompin.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 25 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.

-- BERNAMA