KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang terus mencatatkan trend penurunan dengan bilangan terkini adalah 20,036 orang yang ditempatkan di 82 pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini, berbanding 22,033 orang di 92 PPS tengah hari tadi.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan di Pahang, mangsa banjir yang berlindung di sembilan PPS di lima daerah lima daerah iaitu Bera, Jerantut, Kuantan, Maran dan Temerloh menurun sedikit kepada 214 orang berbanding 227 orang tengah hari tadi.

Selain itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka ekoran kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang masih kekal dengan 87 orang daripada 17 keluarga.

Sementara itu, Kelantan yang kekal negeri paling teruk terjejas banjir juga merekodkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 17,950 orang dan ditempatkan di 46 PPS berbanding 19,167 orang yang ditempatkan di 53 PPS di lima daerah tengah hari tadi.

Lima daerah terjejas adalah Pasir Mas, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Tumpat.

Keadaan sama direkodkan di Terengganu yang menyaksikan jumlah mangsa di lima daerah di negeri itu terus berkurangan kepada 1,817 orang di 24 PPS petang ini berbanding 2,576 orang di 31 PPS tengah hari tadi melibatkan daerah Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Marang dan Setiu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor petang ini juga merekodkan sedikit penurunan kepada 55 orang daripada 15 keluarga yang masih berlindung di tiga PPS di Segamat berbanding 63 mangsa daripada 16 keluarga tengah hari tadi.

Berdasarkan tinjauan status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai di Kelantan iaitu Sungai Kelantan di Jeli, Sungai Kelantan di Gua Musang dan Sungai Golok di Pasir Mas kekal berada pada paras bahaya setakat petang ini.

-- BERNAMA