KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 peratus daripada penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dapatan tersebut hasil kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, di mana prevalens kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.

Jelas beliau, kajian tersebut juga menunjukkan Malaysia mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019. 

"Kencing manis menyebabkan pelbagai komplikasi kepada penghidapnya.

"Seorang penghidap kencing manis berisiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, kerosakan saraf, mata dan kegagalan buah pinggang.

"Laporan Registri Diabetik Kebangsaan (2020) mendapati 10.6 peratus pesakit diabetes menghidap kerosakan mata, 5.86 peratus menghidap penyakit jantung dan 1.79 peratus menghidap strok.

"Sebanyak 14.38 peratus mengalami gangguan fungsi buah pinggang. Laporan Pelan Strategi Mengurangkan Beban Penyakit Buah Pinggang Kronik mendapati 65 peratus daripada pesakit yang memerlukan rawatan dialisis, adalah daripada kalangan pesakit kencing manis," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching), yang mahu tahu berapa jumlah dibelanjakan untuk menangani NCD terutamanya diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD yang tinggi di Malaysia.

Menjawab lanjut, Dr Zaliha berkata, jumlah perbelanjaan langsung penjagaan kesihatan untuk menangani Non-Communicable Disease (NCD) adalah sebanyak RM9.65 bilion iaitu merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di negara ini.

Jelas beliau, anggaran tersebut dibuat berdasarkan perbelanjaan pada 2017 dan laporan itu telah dikeluarkan pada 2022 melalui The Direct Health-Care Cost of Non Communicable Disease in Malaysia oleh World Health Organization dan KKM.

"Jumlah perbelanjaan bagi penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion (45.38 peratus) daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD, diikuti dengan perbelanjaan bagi merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion (40.73 peratus) dan RM1.34 bilion (13.89 peratus) bagi merawat penyakit kanser.

"Perbelanjaan ini adalah merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan," katanya.

Beliau menambah,  bagi 2017 NCD telah memberi impak negatif kepada ekonomi, di mana kos tidak langsung akibat NCD adalah sebanyak RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti.

Sementara, diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti tertinggi sebanyak RM5.74 billion, dan kardiovaskular sebanyak RM5.32 billion.   

Bagi menangani prevalens NCD yang tinggi di negara, Dr Zaliha berkata, KKM antaranya, memperkasa implementasi pelan komprehensif iaitu Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD 2016-2025  dan melaksanakan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN).

Dalam masa sama, KKM turut memperkukuhkan  aktiviti saringan kesihatan bagi mengesan awal penyakit termasuk pengesanan faktor risiko berkaitannya, seperti berat badan berlebihan atau obesiti agar dapat diberikan intervensi bersasar.