KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Zuraida Kamaruddin minggu depan bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Perdana Menteri berkata, beliau juga telah memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa akan bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu selepas mengadakan perjumpaan dengan Zuraida.

“Saya akan jumpa dia (Zuraida) minggu depan, sama ada sebelum atau selepas (mesyuarat) Kabinet.

“Saya sudah beritahu Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya jumpa Zuraida dulu selepas itu barulah saya jumpa (beliau). Zuraida saya jumpa minggu depan dan lepas itu saya jumpa (Muhyiddin),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) di stesen Kampung Batu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata,  Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang masih menjalankan tugasnya sebagai menteri Kabinet seperti biasa.

“Seperti saya katakan jawatan dia tidak gugur sehingga disahkan dia diberhentikan. Setakat ini, Zuraida kekal sebagai menteri dan bertugas seperti biasa,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau menunggu pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan kedudukan Zuraida dalam Kabinet.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang meninggalkan parti PKR dan menyertai Bersatu pada 2020.

Beliau kemudian mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).