Skip to main content

Malaysia

Jurang akses kesihatan, perbahasan belanjawan 2027 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

- Foto Parlimen Malaysia
- Foto Parlimen Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menangani jurang akses kepada doktor, pakar dan kemudahan diagnostik antara hospital di bandar dengan hospital serta klinik kesihatan di luar bandar antara perkara yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), yang meminta Menteri Kesihatan menjelaskan langkah kerajaan untuk mengatasi ketidakseimbangan berkenaan dalam sesi soal jawab.

Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai risiko kebergantungan eksport negara pada sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport, serta strategi mempelbagaikan eksport sekiranya kitaran semikonduktor global merosot.

Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan justifikasi strategik penubuhan hospital MARA pertama, termasuk status kajian dan perancangan, lokasi, kapasiti katil, bidang kepakaran, anggaran kos pembangunan, sumber pembiayaan serta jangkaan tarikh hospital itu mula beroperasi.

Dalam sesi sama, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) meminta Menteri Dalam Negeri memperincikan tindakan bersepadu kerajaan untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia, dadah dan barangan terlarang melalui laluan tidak rasmi di sempadan Perlis, termasuk tindakan terhadap rangkaian sindiket yang terbabit.

Turut disenaraikan ialah pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai dasar jangka panjang kerajaan dalam menangani perubahan iklim serta garis masa pelaksanaan cukai karbon yang ditangguhkan bagi memastikan daya saing Malaysia dalam ekonomi rendah karbon.

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pula meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan langkah pemantauan dan intervensi bagi memastikan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) menyelesaikan bayaran tebusan syer tertunggak kepada lebih 9,000 anggotanya, termasuk penetapan garis masa pembayaran.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut menyaksikan bermulanya perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat lepas.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Okt, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Okt.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement