KUANTAN: Seorang jurujual di Jerantut mengalami kerugian sebanyak RM21,000 apabila wang simpanannya lesap ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Lelaki berusia 59 tahun itu didakwa membuat pembayaran ke akaun yang diberikan sindiket penipuan itu selepas diperdaya kononnya dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dikatakan mendapat panggilan telefon kira-kira jam 12.55 tengah hari daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai LHDN dengan memperkenalkan diri sebagai James David pada Khamis lalu.

"Melalui panggilan berkenaan, individu itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM58,509.82 yang tidak dibayar selama enam bulan yang didaftarkan atas nama mangsa di Kota Bharu, Kelantan.

"James memberitahu untuk selesaikan perkara itu, lelaki itu perlu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selain perlu menghubungi dan bercakap dengan seorang lelaki dikenali dengan Asisten Komisioner Datuk Mohd Nizam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Wazir memberitahu, dalam perbualan tersebut, lelaki itu memberitahu mangsa bahawa syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram dan sindiket dadah.

Menurutnya, mangsa yang mengakui tidak pandai berurusan secara dalam talian kemudiannya dibimbing oleh 'pegawai polis' terbabit dan terus bercakap hingga sampai ke sebuah bank di Jerantut.

"Kira-kira jam 3.35 petang hari sama (Khamis) semasa berada di bank terbabit, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM21,000 selepas diarahkan oleh 'pegawai polis' itu ke dalam satu akaun bank CIMB.

"Semasa sampai di rumah, perbualan mereka terputus namun tidak disyaki oleh mangsa sebelum keesokan hari (Jumaat), mangsa berasa tidak sedap hati dan ingin membuat semakan di bank," jelasnya.

Tambahnya, semakan di bank tersebut mendapati ada transaksi wang sebanyak RM21,000 daripada akaun mangsa ke satu nombor akaun yang tidak pasti.

"Mangsa yang berasa dirinya telah ditipu kemudiannya membuat laporan polis," ujarnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.