KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih wushu ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan pada 11 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan di sekitar Taman Kajang Mewah kira-kira 7.50 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan direman sehingga 23 Mei ini.

Beliau berkata penahanan suspek berdasarkan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa berusia 43 tahun memaklumkan anak perempuannya iaitu pelatih wushu mengalami gangguan seksual dari jurulatihnya.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 11 Feb sehingga 19 Feb lepas sekitar pukul 3 hingga 4 petang dan 12 tengah malam hingga 1 pagi, ketika mangsa berada di rumah jurulatih wushu tersebut.

"Mangsa berusia 13 tahun telah didatangi oleh suspek dan melakukan gangguan seksual atas alasan mangsa gagal mematuhi arahan suspek. Mangsa juga telah diugut oleh suspek jika memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapanya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Namun begitu, beliau berkata mangsa telah bertindak menceritakan kejadian yang berlaku kepada ayahnya iaitu pengadu dan pengadu segera membawa mangsa ke balai polis serta mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Mohd Zaid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan disebat.

"Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908," katanya.

-- BERNAMA