Skip to main content

Malaysia

Polis lengkapkan kertas siasatan video tular Ketua Pengarah AKPS - Saifuddin Nasution

Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung video tular melibatkan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (foto) di KLIA Terminal 1 untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. -Gambar fail/Bernama
Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung video tular melibatkan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (foto) di KLIA Terminal 1 untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung video tular melibatkan Ketua Pengarah AKPS di KLIA Terminal 1 untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
  • Proses siasatan termasuk pengambilan keterangan dan pengumpulan bukti sedang dijalankan, dan keputusan hanya akan dimaklumkan selepas proses selesai.
  • AKPS bertanggungjawab memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara, dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

BENTONG: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung video tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses siasatan termasuk mengambil keterangan dan mengumpul bukti sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan. 

“Mereka (polis) akan melengkapkan kertas siasatan. Yang itu (kertas siasatan) saya tidak lihat, daripada proses yang saya tahu siasatan sedang berjalan.

“Kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, sama ada sudah sampai ke situ atau tidak, saya tak ada sebarang maklumat lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Projek Membina dan Meroboh serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Saifuddin Nasution berkata proses sewajarnya akan dilaksanakan dan keputusan berkaitan kes itu hanya akan dimaklumkan kepada khalayak selepas proses berkenaan selesai.

Dalam pada itu, beliau berkata AKPS mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan pintu masuk negara tidak tercemar dengan isu integriti. 

“AKPS menggabungkan peranan pelbagai agensi sebelum ini kepada satu agensi. AKPS tampil dengan cara kerja yang berbeza dan mempunyai tugas besar untuk memastikan pintu masuk negara, sama ada masuk atau keluar, tidak tercemar dengan isu-isu integriti.

“Pada masa sama, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu polis dan cawangan khas turut menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

AKPS yang ditubuhkan dua tahun lepas adalah agensi penguatkuasaan di bawah KDN yang menyelaraskan keselamatan, kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk darat, laut dan udara negara.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.

Mohd Shuhaily berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta KDN dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.

-- BERNAMA 

 

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah status terkini siasatan berhubung video tular melibatkan Ketua Pengarah AKPS di KLIA Terminal 1? 
    A: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan proses siasatan termasuk mengambil keterangan serta mengumpul bukti sedang dijalankan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
  • Q: Siapakah yang akan membuat keputusan berkaitan kes video tular Ketua Pengarah AKPS? 
    A: Keputusan berkaitan kes tersebut hanya akan dimaklumkan kepada khalayak selepas proses siasatan selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
  • Q: Apakah peranan utama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)? 
    A: AKPS bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kedaulatan pintu masuk negara tidak tercemar dengan isu integriti serta menyelaraskan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk darat, laut dan udara negara.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Mohd Shuhaily berhubung isu video tular tersebut? 
    A: Mohd Shuhaily telah memaklumkan perkara tersebut kepada peringkat tertinggi kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri serta bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.
  • Q: Bilakah AKPS ditubuhkan dan di bawah kementerian mana agensi ini beroperasi? 
    A: AKPS ditubuhkan dua tahun lepas dan merupakan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Must Watch Video

Advertisement