KUALA LUMPUR: Bedah siasat terhadap mayat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, pelajar sekolah menengah yang dipercayai dibunuh pada Sabtu lepas mendapati, punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata bedah siasat terhadap mangsa dijalankan semalam oleh pakar patologi dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
"Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun telah ditangkap pada Sabtu lepas dan permohonan reman dibenarkan selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes itu.
"Polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen 'cover-up' atau melindungi mana-mana pihak," katanya.
Menurutnya, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira 7 malam tadi di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat tentang kejadian berkenaan daripada orang awam pada kira-kira 5.50 petang. -Sinar Harian