Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Juruterbang didakwa seludup dadah di Indonesia, Malaysia Airlines beri kerjasama siasatan

BERNAMA
Malaysia Airlines mengesahkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Indonesia. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mengesahkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Indonesia susulan penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan itu kerana disyaki terbabit dalam kes berkaitan dadah.

Dalam kenyataan kepada Bernama pada Jumaat, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang dikaitkan dengan kakitangannya dan akan mematuhi segala proses siasatan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Malaysia Airlines berkata, adalah tidak wajar untuk mengulas lebih lanjut memandangkan siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia masih berjalan.

Malaysia Airlines berkata, tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dan kini sedang menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti perkara berkenaan.

“Malaysia Airlines ingin menegaskan bahawa kami tidak bertolak ansur terhadap sebarang salah laku. Pada masa sama, semakan dalaman sedang dijalankan berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan berkenaan turut menegaskan bahawa keselamatan penumpang, aspek keselamatan dan integriti operasi kekal menjadi keutamaan dalam setiap penerbangannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia, Djaka Budi Utama, dilapor berkata juruterbang terbabit disiasat kerana disyaki cuba menyeludup dadah, termasuk pil ekstasi, yang dianggarkan bernilai sekitar 60 bilion rupiah (RM14 juta).

Media Indonesia sebelum ini melaporkan suspek, seorang lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun, dipercayai cuba membawa masuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram ke negara itu.

Lelaki berkenaan dilaporkan mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pihak berkuasa di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Rabu lalu. 

Must Watch Video

Advertisement