KUALA LUMPUR: SETIAP kali dipaparkan di media berkenaan kes penderaan ke atas kanak-kanak, isu sedemikian pantas mendapat respons orang ramai apatah lagi pada masa kini, sosial media menjadi medan luahan rasa netizen dalam menyatakan segala ketidakpuasan hati mereka.

Baru-baru ini tular di media sosial kisah penderitaan yang terpaksa ditanggung seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU), Bella disyaki menjadi mangsa dera.

Pautan demi pautan dikongsi sehingga tercetus tanda pagar #JusticeForBella dan kisah ini menjadi perdebatan hangat dalam usaha mencari siapa pelaku yang tidak berperikemanusiaan sehingga anak istimewa berkenaan terpaksa menerima nasib sedemikian rupa.

#JusticeForBella di Instagram mendapat ribuan muat naik dan rata-ratanya memaparkan gambar Bella di samping ungkapan yang meruntun jiwa.

Antaranya posting yang dimuat naik termasuk "Menyakiti OKU Dilaknat oleh Allah", "Tiada Kompromi Kes Penderaan Kanak-Kaak", selain video yang memaparkan keadaan remaja berkenaan.

Dalam pada itu, tidak ketinggalan barisan selebriti seperti aktres Nabila Huda dan penyanyi Faizal Tahir menyifatkan penderaan yang berlaku ke atas remaja perempuan itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan dan ikut menuntut keadilan terhadap Bella.

Astro AWANI pada Isnin turut melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur menyita sebuah rumah kebajikan yang terbabit dalam siasatan kes penderaan Bella.

Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, tindakan tersebut dilakukan susulan laporan berkaitan kes membabitkan remaja berkenaan yang dipercayai didera di rumah itu.

Bagi mengikuti perkembangan terkini, jangan lupa tonton Laporan Khas AWANI 'Apa Nasib Adik Bella?' oleh wartawan Hilmi Malik dalam AWANI 7:45 malam ini.


Laporan Khas | Apa nasib adik Bella? Pendedahan di AWANI 7:45