KUANTAN: Kejadian kabel gentian optik terputus akibat tanah runtuh di laluan dari Lembah Bertam ke Pos Lemoi di Cameron Highlands, telah menyebabkan gangguan perkhidmatan komunikasi terutamanya di kawasan komuniti Orang Asli di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata tanah runtuh di beberapa lokasi itu dipercayai berlaku pada Rabu lepas.

Beliau berkata antara yang terkesan dengan gangguan komunikasi itu ialah penduduk Pos Lemoi dan Pos Telimau yang terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari pekan Ringlet.

"Pada masa ini, kerja-kerja membaiki jalan dan cerun bukit sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.

"Selepas itu, kerja penyambungan kabel yang terputus bagi memulihkan perkhidmatan komunikasi boleh dilakukan dan ia dijangka mengambil sedikit masa kerana melibatkan beberapa lokasi," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.


Fadzli memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memaklumkan status terkini kerja baik pulih itu hingga perkhidmatan komunikasi terlibat pulih sepenuhnya.

Difahamkan, MCMC menerima aduan gangguan perkhidmatan komunikasi itu semalam daripada kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di pos berkenaan dan tindakan sewajarnya terus dilakukan.

Syarikat telekomunikasi terlibat iaitu Maxis juga dapat memasuki kawasan terlibat hari ini selepas kerja pembersihan jalan dilakukan JKR, untuk mengenal pasti lokasi kabel gentian optik terputus supaya kerja baik pulih dapat dilakukan segera.

-- BERNAMA