KUALA LUMPUR: Lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor bermula hari ini, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dan dibincangkan bersama antara MITI, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Kata kenyataan itu, sektor yang dibenarkan adalah sektor elektrik dan elektronik serta rantaiannya; sektor aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan); sektor mesin dan peralatan yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan; dan syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.

Menurut MITI, langkah tersebut diambil atas alasan sektor-sektor berkenaan dilihat sebagai penting dalam rantaian bekalan antarabangsa dan tempatan.

“MITI ingin memaklumkan keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk-produk di dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan dan minuman di dalam negara," katanya.

Justeru, katanya syarikat-syarikat dalam sektor yang disenaraikan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ serta bertarikh Jun 2021 ke atas.

Katanya, senarai produk makanan dan minuman utama terbabit disenaraikan dalam prosedur operasi standard (SOP) Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor,  melalui laman web www.miti.com.my.

Semalam, media melaporkan bahawa 60 peratus kes kluster tempat kerja pada bulan pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) berpunca dari kilang.

Memetik laporan MalaysiaKini, Dewan Perniagaan dan Industri India Bersekutu Malaysia (Maicci) berkongsi nota taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hujung minggu lalu berhubung perincian kluster.

Menurut nota tersebut, data tersebut mendapati 18,065 kes berkait dengan kilang dalam tempoh bermula 1 Jun hingga 1 Julai, iaitu sebanyak 436 kluster dikesan di tempat kerja dengan 227 dari sektor pembuatan.

Data tersebut juga mendapati 85 kluster sektor pembuatan terletak di Selangor.

Namun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali minggu lalu berkata bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan sektor pembuatan atas peningkatan jumlah kes COVID-19.

Beliau mendakwa bahawa kes sektor pembuatan hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.