KADA jangka proses tuaian padi selesai sebelum musim tengkujuh

Berdasarkan laporan diperoleh sehingga semalam, sebanyak 6,449 tan padi telah dijual di pusat belian padi dengan purata pemotongan antara 23 hingga 27 peratus. - Bernama
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menjangkakan 25,101 hektar atau 94 peratus daripada keseluruhan 26,664 hektar kawasan tanaman padi di bawah seliaannya dapat dituai sebelum bermulanya musim tengkujuh.
Pengerusinya Khalid Abd Samad berkata setakat ini 10 peratus atau 2,500 hektar telah dituai dengan purata hasil hingga 4.5 tan sehektar manakala sejumlah 15,000 hektar lagi dijangka selesai dalam tempoh dua minggu ini.
"Selebihnya, mungkin akan berlaku sedikit kelewatan berikutan sebahagian petani lambat memulakan proses menanam padi, namun kita jangkakan petani akan mengambil pendekatan menuai lebih awal juga.
"Langkah ini perlu diambil bagi mengelak kawasan tanaman padi terkesan jika berlaku banjir hingga menyebabkan petani berdepan kerugian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan KADA 2025 di sini hari ini.Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM1.03 juta kepada 42 penerima terdiri daripada usahawan di bawah agensi berkenaan.
Khalid berkata berdasarkan laporan diperoleh sehingga semalam, sebanyak 6,449 tan padi telah dijual di pusat belian padi dengan purata pemotongan antara 23 hingga 27 peratus.
"Melihat kepada purata pemotongan padi ini, isu yang dibangkitkan pesawah bahawa berlaku pengurangan hasil hingga 80 peratus adalah tidak benar sebagaimana dilaporkan media sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KADA merancang untuk menambah keluasan tanaman padi seliaan agensi itu tahun hadapan, membabitkan beberapa jajahan di negeri itu terutamanya Tumpat dan Pasir Puteh.
Beliau berkata langkah berkenaan sejajar dengan kemudahan Kemubu Tiga serta Empat yang dijangka siap November depan dan mampu membekalkan air mencukupi untuk keperluan petani.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami