IPOH: Kadar baharu tarif air di Perak akan diumumkan selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 6 Mac hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Lembaga Air Perak (LAP) telah membuat kertas mesyuarat mengenai perkara itu dan akan dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Air Perak (LAP) yang dijadualkan 1 Mac depan.

“Selepas Lembaga Pengarah buat keputusan, kita kena bawa ke Mesyuarat Exco, selepas itu baru kita akan umum berapa dia punya kadar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus pemantapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah LAP perlu mendengar taklimat daripada pengurusan tentang mengenai rasional bagi kenaikan kadar tarif itu.

“Dia kena ada rasional tertentu dan nak lihat dari segi perniagaan, sama ada ia menguntungkan ataupun ia merugikan sama ada, membeban kepada pengguna ataupun tidak, kita akan bahas dalam mesyuarat Lembaga Pengarah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Saarani membayangkan akan ada peningkatan kadar tarif kerana kenaikan terakhir adalah pada 2006.

“Bermakna kalau kita tak ambil peluang ini, kita kena tunggu pula, bila pula akan diberi kelulusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Sebab dia bukan bagi tiap-tiap tahun, jadi kita akan ambil kesempatan itu sebab kita diberi peluang untuk menaikkannya ada, tetapi saya pasti ia tidaklah membebankan,” jelasnya.

Pada 17 Januari lalu, SPAN mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPAN, pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Pelaksanaan pelarasan tarif air ini adalah berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri,
namun, kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan
penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.