PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melahirkan 25,601 tenaga mahir dalam bidang pertanian setakat ini, dengan kadar kebolehpasaran graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kementerian itu meningkat kepada 81 peratus pada 2024 berbanding 78 peratus pada tahun sebelumnya.
KPKM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan sektor agromakanan kini dikategorikan sebagai agenda strategik negara berikutan impak krisis global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global yang menjejaskan kos logistik serta keselamatan bekalan makanan.
"Bagi mendepani impak tersebut, kerajaan menerusi KPKM terus komited memperkukuh sektor ini berteraskan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), Jualan Agro MADANI serta inisiatif Geran Agropreneur NextGen," menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan 750 graduan Institut Latihan TVET Pertanian (ILTP) di bawah kementerian itu yang menamatkan pengajian tahun lepas diraikan semalam pada Majlis Konvokesyen Pertanian ke-14 yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin di Bangi, Selangor.
Menurut kenyataan itu, mereka terdiri daripada graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) sebanyak 49 orang, Sijil Kemahiran Malaysia (312), Sijil Pertanian (350), Sijil Veterinar Malaysia (28) dan Sijil Perikanan (11).
"Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan kepada tujuh penerima Anugerah Khas atas pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pengajian," menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan semua graduan berkenaan telah mengikuti 10 bidang persijilan kemahiran antaranya Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Teknologi Perikanan Tangkapan dan Akuakultur Marin, selain tiga persijilan daripada jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan yang ditawarkan di 16 ILTP di seluruh negara.
-- BERNAMA