Skip to main content

Malaysia

Kadar pengangguran Julai 2026 kekal 30 peratus - DOSM

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Orang ramai serta pelancong dari luar negara berjalan kaki menggunakan lintasan Bukit Bintang yang dikenali sebagai 'Lintasan Shibuya' ketika tinjauan fotoBernama sempena Belanjawan 2025 di Bukit Bintang hari ini.  Dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga selaku Menteri Kewangan I mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM550 juta diperuntukkan sebagai persiapan rapi negara bagi Tahun Melawat Malaysia 202
Menurut statistik itu bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.37 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada Jun, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran pada Julai 2026 kekal 3.0 peratus seperti bulan sebelumnya dan mencatatkan sebanyak 520,300 penganggur, menurut Statistik Tenaga Buruh bagi Julai 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut statistik itu bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.37 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada Jun, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

"Bilangan penduduk bekerja turut meningkat marginal 0.1 peratus kepada 16.85 juta orang daripada 16.83 juta orang pada bulan sebelumnya," menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.

Kategori pekerja yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pula menyaksikan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.62 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.3 peratus kepada 3.16 juta orang.

Menurut DOSM, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada guna tenaga pada Julai, antaranya didorong oleh aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi, penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman, selain aktiviti kewangan dan insurans atau takaful.

"Guna tenaga turut meningkat dalam semua sektor lain, iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan serta pembinaan," menurut DOSM.

Sementara itu, penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.3 peratus daripada jumlah penganggur, meningkat 0.4 peratus kepada 412,600 orang.

Dalam kalangan penganggur aktif, sebanyak 63.5 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 5.4 peratus.

Bagi golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran kekal pada 10.2 peratus dengan 292,500 orang penganggur, manakala kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 6.4 peratus daripada 6.3 peratus pada Jun.

Secara keseluruhannya pasaran buruh Malaysia pada Julai 2026, kekal kukuh dan berdaya tahan dengan pertumbuhan guna tenaga yang berterusan serta kadar pengangguran yang rendah. 

"Namun, perubahan struktur ekonomi dan kemajuan teknologi menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja negara kekal kompetitif dan berupaya memenuhi keperluan pasaran buruh masa hadapan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement