NATIONAL
Kadar pengangguran menurun 3.1 peratus, terendah dalam 10 tahun - Steven Sim

Sambutan Hari Pekerja 2025 pada pagi ini dihadiri 10,000 orang termasuk kakitangan sektor awam dan swasta. - Astro AWANI/Shahir Omar
BUKIT JALIL: Kadar pengangguran pada Februari 2025 mencatatkan penurunan ke 3.1 peratus sekali gus menunjukkan kadar terendah dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah individu yang bekerja meningkat daripada 16.91 juta hujung tahun 2023 kepada 17.34 juta pada hujung tahun 2024.
“Kerajaan MADANI telah menaikkan faedah keselamatan sosial PERKESO kepada pekerja sebanyak 20 peratus, menguatkuasakan lebih 100 penambahbaikan.
“Ini bagi memastikan tempat kerja selamat, memperkasakan kuasa runding pekerja untuk mendapatkan gaji yang lebih bermaruah dan meningkatkan pampasan gaji pekerja dengan kenaikan gaji minimum serta pelaksanaan dasar gaji progresif,” katanya.Beliau berkata demikian di sambutan Hari Pekerja 2025 peringkat kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil pada Khamis.
Sambutan Hari Pekerja 2025 pada pagi ini turut dihadiri 10,000 orang termasuk kakitangan sektor awam dan swasta.
Mengulas lanjut, Steven memaklumkan kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat kepada 70.6 peratus.
Dalam pada itu, kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.8 peratus manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun daripada 37.4 peratus pada 2023 kepada 36 peratus.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET kita meningkat kepada 94 peratus. Syabas saya ucapkan kepada sektor TVET,” katanya.
Sementara itu, pencarum PERKESO meningkat kepada 9.9 juta di sektor formal yang mana lebih ramai pekerja kini dilindungi di bawah skim keselamatan sosial kerajaan.
“Jumlah pencarum PERKESO untuk mereka yang bekerja sendiri juga meningkat kepada 900 ribu orang berbanding 700 ribu orang pada 2023.
“Pencarum untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah meningkat kepada lebih 500 ribu orang berbanding hanya 200 ribu orang pada 2023,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami