Skip to main content

Malaysia

Kadar tambang ECRL belum dimuktamadkan - MRL

KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini memasuki fasa penting dengan bermulanya Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR) bagi jajaran Kota Bharu, Kelantan hingga Gombak, Selangor, sekali gus menandakan langkah penting ke arah pengoperasian ECRL yang disasarkan bermula Januari 2027.  Ujian berkenaan melibatkan integrasi dan penyelarasan sistem utama kereta api ECRL termasuk sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa tarikan dan overhead contact line bagi memastikan ke
MRL berkata, penetapan kadar tambang ECRL kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum dimuktamadkan, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

MRL dalam kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kadar tambang ECRL yang kembali tular dan dikongsi di media sosial sejak kebelakangan ini.

Menurut MRL, maklumat mengenai kadar tambang berkenaan adalah tidak tepat dan tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.

"Sebarang kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas proses penilaian dan kelulusan berkaitan dimuktamadkan," menurut kenyataan itu.

MRL turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Sebaliknya, orang ramai diminta merujuk pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan, MRL dan ECRL berhubung kadar tambang berkenaan.

MRL berkata, penetapan kadar tambang ECRL kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurutnya, ECRL bukan sahaja menyediakan pilihan pengangkutan baharu kepada rakyat, malah dijangka membawa perubahan besar terhadap mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

"Apabila beroperasi kelak, perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak dijangka mengambil masa kira-kira empat jam, manakala perjalanan Kuala Terengganu-Gombak sekitar tiga jam dan Kuantan-Gombak kira-kira satu jam 35 minit," katanya.

MRL berkata pihaknya memahami keterujaan orang ramai untuk mengetahui kadar tambang ECRL dan menggesa mereka menantikan pengumuman rasmi yang dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement