MELAKA: Kaedah "omnipresence" dengan meningkatkan kehadiran anggota pemantauan penguat kuasa di lokasi tumpuan merupakan langkah efektif bagi meningkatkan tahap kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan Pasukan Sukarelawan Komuniti (Penglibatan dan Pemerkasaan) Melawan Covid-19 (VCEE19) mendapati orang ramai termasuk petugas dan penyokong parti politik berasa takut diperhatikan pihak berkuasa selain takut disaman kerana melanggar SOP yang ditetapkan ketika berkempen atau hadir dalam program politik.

"Kumpulan VCEE19 telah melakukan pemantauan SOP PRN dalam mengekang penularan COVID-19 sejak hari penamaan calon dan kita dapat lihat bahawa 'omnipresence' pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara di lapangan memberi kesan pada pematuhan SOP.

"Orang ramai secara automatik akan berasa takut untuk melanggar SOP kerana mereka takut disaman dan kaedah ini baik untuk ditingkatkan sehingga ke hari mengundi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dataran 1Malaysia di sini pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Muhammad Syafeeq Mohammad Nuri dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Dr Siti Nurbaya Shahrir.

Dr Zainal Ariffin berkata penguat kuasa di lapangan juga perlu mengambil tindakan tegas dengan menutup mana-mana premis yang melanggar SOP sepanjang PRN Melaka berlangsung selain mengeluarkan saman tanpa kompromi sebagai langkah pencegahan awal mengekang penularan COVID-19

Beliau berkata selain itu, pemimpin parti politik yang terlibat dalam PRN Melaka perlu menjadi model peranan yang baik kepada penyokong atau akar umbi dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan.

"Ada dua perkara yang kita perlu lihat dalam melaksanakan PRN Melaka ini iaitu amalan demokrasi yang stabil dan penjagaan kesihatan yang baik menerusi SOP yang ketat. Kita harap dalam menjalankan demokrasi untuk memilih pemimpin, kita juga perlu menitikberatkan aspek kesihatan awam.

"Walaupun PRN Melaka dilihat sebagai 'field testing' (ujian lapangan) kerana kita akan menghadapi PRN Sarawak dan Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam masa terdekat dan kita tidak mahu apa yang berlaku di Sabah berulang," katanya.

Sementara itu, Zainal Ariffin menyarankan orang ramai terutama petugas yang terlibat dalam PRN Melaka agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan melakukan saringan kendiri sekiranya bergejala selain menjalani kuarantin kendiri.

VCEE19 adalah sebuah projek bersama antara Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia yang turut merupakan rakan pertubuhan bukan kerajaan bagi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah inisiatif Agen Basmi COVID-19.

Pendekatan VCEE19 adalah secara "tegur dan lapor" menggunakan modul Sukarelawan Kesihatan Awam VCEE19 berpandukan SOP Kesihatan Awam Kerajaan dan menggunakan medium tinjauan mesra, edaran risalah dan media sosial.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

-- BERNAMA