PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengenal pasti kaedah implementasi bersesuaian bagi memendekkan tempoh memproses pensijilan halal dari 51 hari kepada 30 hari.

Ketua Pengarahnya Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata penilaian dan kajian terperinci dilakukan Jakim dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah implementasi bersesuaian dilaksana bermula peringkat prapensijilan sehingga pasca pensijilan halal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas berkata kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari dari 51 hari sebelum ini.

"Jakim menyambut baik hasrat kerajaan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal," katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik, Hakimah berkata Jakim telah melaksanakan Kejuruteraan Semula Proses Perniagaan (BPR) untuk meneliti isu dan punca kelewatan pengurusan pensijilan halal Malaysia sejak awal tahun ini.

Melalui BPR, Jakim berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia.

Beliau berkata Jakim menerima 2664 permohonan sijil halal bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept lepas dengan 90 peratus atau 2,399 permohonan telah selesai diuruskan.

"Baki sebanyak 265 (10 peratus) permohonan sedang diproses di pelbagai peringkat sama ada di bawah tindakan Jakim atau yang memerlukan tindakan pemohon," katanya serta menambah ia mencerminkan Jakim komited memperkasakan pensijilan halal Malaysia.

Hakimah berkata Jakim turut menstrukturkan semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuatkuasa.

"Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tatakelola penyampaian perkhidmatan yang diberikan menjadi indikator utama dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah berkesan dan cekap serta memenuhi ekspektasi yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata Jakim dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sedang berusaha untuk menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 agar ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa.

"Semua industri perlu sentiasa memastikan kesediaan yang lebih baik ke arah pensijilan halal diselesaikan di peringkat industri sebelum mengemukakan permohonan halal," katanya.

Hakimah berkata Jakim menyambut baik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan pertambahan sumber manusia di Bahagian Pengurusan Halal, Jakim bagi memperkemaskan pengurusan pensijilan halal Malaysia.

"Justeru itu, melalui Jawatankuasa Teknikal Pemandu Halal Malaysia, cadangan berkenaan tatakelola halal akan diperhalusi sewajarnya untuk memastikan pelaksanaan pengurusan halal diurus secara cekap dan proaktif dapat dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA