Seorang lelaki warga Bangladesh putus kaki kiri selepas terjatuh dalam paip kumbahan yang sedang dalam pembinaan di Sungai Nibong, di sini, petang Khamis.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20-an itu sedang melakukan kerja membaiki lubang kumbahan itu dan tiba-tiba tergelincir menyebabkan kakinya tersangkut dalam lubang paip berkenaan.

Pegawai Bomba Kanan 2, Zaiful Arif Md Ariffin berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.49 petang sebelum sebuah jentera bergegas ke lokasi.

Menurutnya, ketika tiba, kaki mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dengan keadaan kaki terputus sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Bomba bertindak mengeluarkan bahagian kaki mangsa yang tersepit di dalam lubang berkenaan dengan menggunakan mesin khas.

"Mangsa kini berada HPP dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi, di sini.