KUANTAN: Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Johor maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan sawit di kilometer (KM) 33 Jalan Pekan-Nenasi- Rompin pada malam Jumaat.

Dalam nahas kira-kira jam 9.45 malam itu, Mohd Reza Musa, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai rentung susulan kenderaan dipandunya terbakar.

Pemandu lori, Zainal Abd Samad, 49, pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu lori dalam perjalanan dari simpang ladang Yayasan Pahang Sungai Bebar Selatan menghala ke kilang Kosfarm Rompin.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dikatakan mahu keluar simpang tanpa memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama.

"Tindakan pemandu lori telah menyebabkan lori yang dinaikinya melanggar bahagian tepi kenderaan di pandu mangsa yang datang dari arah Rompin menghala ke arah Pekan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan sembilan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi telah ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan.

Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian mendapati kereta Perodua Myvi terbakar dan mangsa terperangkap dalam kenderaan terbabit.

"Kita kemudian membuat operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos saluran bantu mula air tangki pam jentera Bomba.

"Selepas itu, kita berjaya mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujar beliau. - Sinar Harian