Susulan peningkatan kes kematian dan jangkitan COVID-19 di China, khususnya di Wuhan, Hubei, polis menasihat Jho Low untuk pulang segera ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, risikan polis mendapati ahli perniagaan yang berkait dengan skandal 1MDB itu agak aktif di Wuhan, dan mempunyai risiko untuk terkena jangkitan virus berkenaan, yang sehingga kini telah meragut lebih 2,000 nyawa.

“Sebelum ni memang kita dapat maklumat kata dia (Jho Low) memang aktif di Wuhan. Saya telah minta pihak KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) untuk perhatikan sekiranya dia balik dengan COVID-19.

“Saya nak beritahu tahu dia, kalau dia menghidap itu (COVID-19) dia datang ke Malaysia sebab setakat ni alhamdulillah Kementerian Kesihatan Malaysia antara yang terbaik. We are the best so far. Insya Allah we got the best treatment to tackle this virus. Jadi kalau dia kena minta dia balik, kita akan bagi dia treatment betu-betul terbaik untuk dia,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa Jho Low tidak pernah berada dalam senarai merah Polis Antarabangsa (Interpol) adalah tidak benar sama sekali.

“Pihak yang mengatakan tidak ada red notice itu saya minta dia jumpa saya. Siapa yang kata tak ada red notice itu mari jumpa saya datang ke pejabat saya.

“Senarai ini ada macam-macam kategori. Ada dua kategori di bawah Interpol. Satu boleh dikongsi bersama orang awam dan satu lagi terhad kepada penguatkuasa sahaja,” katanya lagi.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan kontroversi itu yang menjadi buruan polis itu bersama empat individu lagi.

Jho Low, antaranya, berdepan lima dakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.