KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan, MAIS berpandangan bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi ia juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).

“Walau bagaimanapun, MAIS berasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

MAIS juga mengulangi kenyataan pihaknya sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.

“MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.

“Ini untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri Selangor,” ujarnya.

Pada Isnin, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.