SERDANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri berhubung membuat keputusan untuk menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain untuk tujuan pembelajaran.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia adalah pendirian yang diambil oleh kementerian dan beliau telah memaklumkan kepada Kabinet.

“Saya telah menyampaikan nota kepada kabinet beberapa bulan lalu. Nota memaklumkan kepada kabinet apa keputusan kementerian,” katanya pada Majlis Penerapan Nilai Nilai Murni & Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin.

Saifuddin bagaimanapun berkata, beliau akan mengulas lanjut dalam sidang media seterusnya yang dijadualkan esok.

Terdahulu hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mengesahkannya, kementerian dan kerajaan memfailkan notis penamatan itu pada 18 April.

Notis berkenaan, menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Isu itu bermula 15 tahun lalu apabila Lawrence Bill memulakan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan bertajuk 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah'.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian. -Sinar Harian