Skip to main content

Malaysia

"Kami tunai haji sepatutnya bersama mak ayah, tapi Allah lebih mengetahui..."

Sumber: Astro AWANI
Selepas berbincang, keluarga mereka mengambil keputusan untuk berpecah dengan tiga beradik meneruskan haji. - Astro AWANI

MEKAH: Hasrat untuk menunaikan ibadah haji bersama seluruh keluarga tidak kesampaian buat tiga beradik dari Kedah apabila ibu dan bapa mereka terpaksa membatalkan hasrat ke Tanah Suci akibat gagal saringan kesihatan.

Siti Munirah Mustafa bersama dua adiknya, Ili Rashidah dan Alu Abdillatif, bagaimanapun tetap meneruskan perjalanan ke Mekah dengan membawa harapan dan doa buat kedua ibu bapa mereka yang hanya mampu menunggu di tanah air.

Menurut Munirah, pada peringkat awal, mereka sekeluarga menerima panggilan haji bagi musim ini, sekali gus mencetuskan kegembiraan kerana berpeluang menunaikan ibadah secara bersama.

“Memang kami rancang untuk pergi satu keluarga. Kami dah bayangkan semua bersama, urus ibadah sama-sama,” katanya ketika ditemui di sini.

Namun kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila keputusan saringan kesihatan mendapati ibu mereka tidak layak disebabkan masalah asma, manakala bapa pula berdepan masalah jantung.

“Bila tahu mak ayah tak boleh pergi… memang sedih. Susah nak digambarkan. Kita ralat sebab dah rancang lama,” katanya.

Munirah berkata, selepas berbincang, keluarga mereka mengambil keputusan untuk berpecah dengan tiga beradik meneruskan haji, manakala kakak sulung, Ummi Aishah memilih untuk kekal di Malaysia bagi menjaga kedua ibu bapa.

“Kakak pilih untuk tidak pergi tahun ini. Dia ambil tanggungjawab untuk jaga mak ayah di kampung. Itu satu pengorbanan besar".

“Kalau semua pergi, siapa nak jaga mak ayah? Jadi kami ambil keputusan terbaik. Walaupun berat, kami reda,” katanya.

Munirah mengakui perasaan sedih tetap ada, namun ia disertai keyakinan bahawa setiap ketentuan Allah mempunyai hikmah tersendiri.

Katanya, sepanjang berada di Tanah Suci, mereka bertiga tidak pernah putus mendoakan agar ibu bapa diberikan kesihatan dan peluang menunaikan haji pada masa akan datang.

“Kami sentiasa doa dari awal kami sampai… dari Madinah lagi sampai ke Mekah, doa untuk mak ayah tak pernah berhenti,” katanya.

Munirah berkata, Hari Arafah yang kini menjadi tumpuan utama mereka untuk memanjatkan doa tersebut dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Di Arafah nanti, itu yang paling penting. Kami nak doa supaya mak ayah diberi kesihatan dan Allah bagi peluang mereka datang ke sini juga".

“Kita tak boleh putus harapan. Kalau Allah nak jemput, semua akan jadi mudah. Kami pun dipermudahkan sampai ke sini, jadi kami yakin mak ayah pun ada rezeki nanti,” katanya.

Munirah berkata, pengalaman ini mengajar mereka bahawa ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi turut melibatkan pengorbanan dan keikhlasan hati.

“Kami datang bukan hanya untuk diri sendiri. Kami bawa doa dan harapan mak ayah sekali"

“Kami percaya doa itu sampai. Insya-Allah satu hari nanti, giliran mak ayah pula,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement