Kisah seorang yang mudik ke hulu dan meminta lauk nasi di rumah imam kawasan itu sebanyak dua kali menyebabkan peristiwa itu diabadikan sebagai nama kampung di situ dengan nama “Kampung Imam Lapar”.

Memang agak melucukan dan mencuit hati apabila kita menyebutnya namun itulah hakikat kampong tersebut yang menjadi terkenal kerana namanya yang dianggap pelik itu.

Kampung tersebut merupakan kampong tradisi lama di daerah Hulu Terengganu dan dikatakan telah wujud sejak ratusan tahun lamanya.

Kampung Imam Lapar sebenarnya hanyalah sebuah kampong kecil yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 350 orang.

Bagi rakyat Terengganu, kebanyakan mereka sememangnya mengenali kewujudan kampung ini dan sekali sekala turut menarik pelancong luar kerana namanya itu.

Menurut Abdullah Mat Amin yang berusia 80 tahun dan berasal dari kampung itu, kisah bagaimana seorang musafir yang mudik ke hulu itu telah berlaku sejak sekian lama, dan cerita itu telah diperturunkan dari generasi ke generasi.

“Cerita tu lama dah..semua orang sini dah maklum.Kalau diikutkan memang melucukan kisah itu sebab ketika dia mudik ke hulu tu dia sempat singgah di kampung ini untuk meminta lauk nasi kerana bekalan yang dibawa sudah habis.

"Memang orang zaman dahulu menggunakan laluan air sebagai laluan utama dan membawa bekalan. Orang itu pergi ke rumah imam untuk meminta bantuan bekalan makanan dan ia bukanlah pelik pada masa dulu," jelasnya.

Bagaimanapun kebanyakan penduduk yang ditemui tidak pernah berasa malu dengan nama kampung mereka yang sering diperkatakan oleh orang dan dianggap pelik.

Malah mereka berasa berbangga kerana nama itulah menjadikan kampung mereka menjadi terkenal di serata tempat.

Kampung Imam Lapar juga telah mengalami pelbagai perubahan seiring dengan zaman.

Namun penduduk kampung itu kini kian dihambat kerisauan kerana masalah hakisan tebing sungai kampung itu sangat serius dan masih gagal dibendung sehingga kini.


Menurut Pengerusi J3K kampung itu Abdul Samad Abdul Ghani, masalah itu semakin serius apabila mula menjejaskan bahagian jambatan utama kampung itu dan telah menenggelamkan banyak kawasan tanaman penduduk kampung di situ.

“Kalau ikutkan saban tahun setiap kali musim banjir ramai yang datang melawat melihat masalah hakisan termasuklah Pejabat Daerah sehingga YB sendiri.

"Namun setakat tengok sahaja, selepas itu tiada tindakan diambil.

“Nasib baik masalah hakisan sebelah kubur sana sudah selesai, sekarang ini ia mula mengancam jambatan utama yang menghubungkan jalan besar," jelasnya lagi.