Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak 12 tahun meninggal dunia ketika sertai kejohanan bola sepak

[TB]_Allahyarham Danish Hizqeel_FB Shining FC
Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang bersemangat, rajin berlatih, menghormati jurulatih serta sentiasa membawa senyuman kepada rakan-rakannya. - Facebook Shining FC
Advertisement

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 tahun (B-12) di sebuah pusat sukan di sini, semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebook Shining FC, Allahyarham Danish Hizqeel Mohd Hanif yang menyertai kelab itu sejak berusia lapan tahun disifatkan sebagai seorang yang bersemangat, rajin berlatih, menghormati jurulatih serta sentiasa membawa senyuman kepada rakan-rakannya.

"Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan yang amat besar buat seluruh keluarga Shining Academy. Kenangan, semangat dan jasanya akan sentiasa terpahat di hati kami.

"Kami mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosanya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya, menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan," menurut hantaran itu.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA) memaklumkan Danish Hizqeel mempunyai bakat yang besar dalam sukan bola sepak dan kehilangannya amat dirasai oleh seluruh komuniti bola sepak negeri.

Unit Sukan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Pasir Gudang itu menerusi hantaran di laman Facebook rasmi jabatan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement