Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE), dipercayai selepas melawat datuknya di Bagan Jermal.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan darah terhadap kanak-kanak itu pada 24 Jun lepas mendapati ia positif JE.

"Kanak-kanak itu pada mulanya mengalami demam dan kejang-kejang dan dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya pada 13 Jun. Keadaannya semakin serius dan perlu mendapat rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Di HPP pesakit telah dimasukkan ke wad Pediatrik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan setelah menerima rawatan intensif, pesakit telah menunjukan respons yang baik," katanya.

Tambah Dr Lailanor, kanak-kanak itu telah dikeluarkan dari ICU dan dipindahkan ke wad biasa pada 18 Jun.

"Doktor pakar dari HPP memberitahu, kanak-kanak itu telah beransur pulih setelah menerima rawatan intensif selain kini boleh makan dan minum," ujarnya.

Bagaimanapun, Dr Lailanor memberitahu, pesakit itu masih dirawat di HPP dan sedang menjalani fisioterapi.

Jelasnya, pihaknya akan membuat siasatan lanjut terhadap keluarga pesakit untuk pengesanan kes secara aktif selain langkah-langkah kawalan akan diambil.

"Pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lepas adalah positif dan hari ini pihak HPP sekali lagi mengambil sampel darah pesakit untuk kepastiaan, ia dijangka diketahui dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat disyaki dijangkiti virus JE dan masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru.

Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, pada awalnya dikatakan mengalami demam panas sejak 18 Mei lalu dan dimasukkan ke Hospital Kepala Batas selepas demamnya itu berlarutan sebelum dipindahkan ke hospital swasta itu pada 21 Mei.