KUALA LUMPUR:Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan susulan.

“Setakat ini kita masih dalam proses lengkapkan siasatan sebelum kita serah kepada DPP untuk tuduh atau tidak.

“Perkembangannya masih lagi sama, laporan kimia spesimen yang pihak hospital ambil semasa bedah siasat pun kita sedang tunggu lagi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan Mohd Sukri mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu selepas proses bedah siasat dijalankan kira-kira 11 jam pada Ahad lalu.

BACA: Dera kanak-kanak: Dua anak suspek masih ditempatkan di Hospital Melaka


Dera kanak-kanak | Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri

Pasangan suami isteri iaitu ibu kandung dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun juga direman tujuh hari sehingga Khamis ini.

Mengulas mengenai barang bukti termasuk senjata yang digunakan suspek terhadap mangsa serta tanda tanya siapakah suspek utama kes berkenaan, Mohd Sukri berkata perkara itu masih dalam siasatan.

“Tunggu sahajalah, beri ruang kepada kami untuk menjalankan siasatan lanjut,” ujarnya ringkas.

Pada Isnin, jenazah kanak-kanak itu selamat disemadikan jam 12.40 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin berhampiran kediaman keluarga ibu kandungnya.

Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka telah dibawa ke Madrasah As Syakirin untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu.

BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong selamat dikebumi di Jasin


Jenazah kanak-kanak tujuh tahun dipercayai mangsa dera dikebumi