Seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun yang dilaporkan tidak pulang dari sekolah dan hilang sejak petang Rabu lalu telah kembali kepada keluarganya.

Bapa kepada kanak-kanak itu, Mohd Noor Ermy Mohd Khairi berkata anaknya itu telah pulang ke rumah mereka petang semalam.

Dia sebelum ini mula panik apabila menyedari bahawa anaknya, Nurul Syuhada tidak pulang ke rumah selepas menghadiri aktiviti sukan pada 1.30 petang Rabu.

"Saya sangka dia menunggu adiknya di sekolah tetapi apabila adiknya pulang ke rumah jam 6 petang tanpanya, kami mula berusaha mencari di beberapa kawasan" kata Mohd Noor, 33 kepada Astro AWANI.

Mohd Noor turut meminta bantuan 200 rakan dan jirannya untuk mencari di sekitar Bandar Saujana Utama Sungai Buloh, kawasan dimana mereka tinggal, namun usaha awal tidak berhasil.

"Pada tengah malam, saya betul-betul risau dan tidak dapat tidur. Saya membuat laporan polis walaupun belum cukup 24 jam lagi," katanya.

Walaubagaimanapun, ketika usaha pencarian kedua mahu digerakkan pada pukul 6 petang Khamis, Nurul dilihat berjalan pulang ke kediaman mereka.

Nurul memaklumkan dia telah bermalam di rumah kawan baiknya kerana bimbang untuk pulang ke rumah.

Kata Mohd Noor, sebelum kejadian, dia ada memberikan wang saku RM2 kepada Nurul untuk diserahkan kepada adiknya yang bersekolah di SK Sri Pristana, Sungai Buloh.

Namun dia gagal berbuat demikian sebaliknya menggunakan kesemua wang saku tersebut.

"Mungkin Nurul takut dimarahi oleh saya sebab itu dia tidak pulang ke rumah.

"Bila dia pulang hari ini, saya terus memeluknya dan tidak jadi marah,” kata Mohd Noor.

Katanya lagi, beliau tidak menyalahkan anaknya itu cuma kesal apabila rakan karib anaknya itu turut berbohong mengatakan dia tidak tahu di mana Nurul berada.

"Ini merupakan satu pengajaran buat kami sekeluarga, mulai hari ini saya akan lebih peka dan mengambil tahu siapa dan di mana kawan-kawan anak-anak saya tinggal.”