TAIPING: Seorang wanita ditahan susulan kes seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan anak suspek berusia 1 tahun 10 bulan, disyaki positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan Hospital Taiping semalam.

"Mangsa dikatakan dihantar ke rumah nenek oleh ibu mangsa kerana mahu membeli barang keperluan di kedai runcit yang terletak tidak jauh dari rumah neneknya.

"Ketika mahu tidur, tiba-tiba mangsa menangis dan menunjukkan tingkah laku tidak terkawal, setelah itu ibu mangsa telah membawanya ke hospital bagi pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Razlam, susulan daripada insiden itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Tindakan susulan telah diambil dimana tangkapan telah dibuat ke atas ibu mangsa, ujian saringan awal ke atas suspek didapati disyaki positif dadah jenis methaphetamine," katanya.

Justeru beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu membanteras kejadian jenayah di daerah tersebut khasnya.