KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang dipercayai baharu tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini pada Rabu.

Kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.

Video mengenai penemuan kanak-kanak itu tular di media sosial selepas dipercayai terkunci di dalam kontena berkenaan selama enam hari.

Video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota polis bantuan pelabuhan tersebut.

Berdasarkan maklumat sumber, salah seorang kakitangan pelabuhan itu mendakwa terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia dibawa ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan turut menjalani proses dokumentasi.

Sumber turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama pada Khamis. - Sinar Harian