PASIR SALAK: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terperangkap dalam kereta yang terbabas ke dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, kanak-kanak berusia lima tahun terbabit menaiki kereta jenis Honda City dipandu ibunya bersama seorang adik perempuan berusia empat tahun dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala ke Seberang Perak.

Setibanya di tempat kejadian, kereta terbabit hilang kawalan dipercayai kerana mengelak lopak air sebelum terbabas ke dalam tali air yang kedalaman lebih tiga meter.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah, Megat Mohd Dahari Megat Jamaludin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.19 petang.

"Maklumat awal diterima terdapat tiga mangsa dalam kenderaan itu, dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam yang kebetulan berada di lokasi.

"Bagaimanapun terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai masih terperangkap dalam kereta itu," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama kenderaan itu sedang giat dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan.

Menurutnya, operasi ketika ini berdepan kesukaran kerana keadaan hujan menyebabkan arus air agak deras.

"Langkah awal, kita sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menutup laluan air bagi memberi laluan operasi dijalankan dalam keadaan selamat.

"Setakat ini, mangsa bersama kenderaan terlibat masih belum dijumpai," katanya.


Artikel asal di Sinar Harian.