KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera dalam kejadian di Betong, hari ini.

Kanak-kanak malang dengan kesan lebam di badan dipercayai didera ibu kandung dan teman lelaki wanita itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada pihak Hospital Betong pada pukul 3.50 petang Ahad.

“Ya.. kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dengan kesan lebam disyaki didera.

"Manakala ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya ditahan polis untuk bantu siasatan.

"Kes masih dalam siasatan, saya tidak boleh komen lebih lanjut hingga dapat bukti lain seperti keputusan bedah siasat," katanya.