TAMBUN: Seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun lemas ketika berkelah bersama nenek, bapa saudara dan dua abangnya di Sungai Ulu Piah, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Izz Auf Ghazali disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa bersama anggota keluarga berkelah di kawasan sungai berkenaan kira-kira jam 10 pagi, tanpa ibu dan bapanya.

“Semasa mereka sedang mandi, tiba-tiba mangsa dikatakan menjerit meminta tolong dan bapa saudaranya cuba menyelamatkannya tetapi mangsa dihanyutkan arus sungai yang deras dan hilang dari pandangan.

“Bapa saudara mangsa telah menjerit meminta pertolongan kepada penduduk dan orang awam yang berada di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

A. Asmadi berkata, secara kebetulan seorang lelaki yang sedang berbasikal telah menjumpai mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian, lalu membawanya ke tebing sungai.

Menurutnya, pihak ambulan yang tiba di lokasi kejadian pada kira-kira 11.40 pagi telah membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa masih ada nadi,  lalu segera membawanya ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia pada jam 12.55 tengahari di wad kecemasan HRPB.

“Bedah siasat akan dijalankan pada hari ini untuk mengetahui punca kematian mangsa,” ujarnya.