IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki yang tular selepas dipercayai tertinggal di tandas awam Tol Ipoh Selatan semalam, ditemukan dalam keadaan selamat dan telah diambil semula oleh ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, semakan pihaknya dengan petugas di plaza tol tersebut mendapati, kejadian berlaku akibat salah faham dan keluarga kanak-kanak berumur lapan tahun itu telah membawanya pulang pada hari yang sama semalam.

"Mangsa telah diambil semula oleh keluarganya. Terdapat salah faham yang mana keluarga mangsa menaiki dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan dinaiki ibu bapanya, manakala sebuah lagi kenderaan dinaiki adik beradik mangsa yang berhenti di tandas.

"Mereka ingat mangsa naik salah satu kereta dan apabila sampai di rumah saudara mereka di Menglembu, kira-kira 20 kilometer dari plaza tol itu, didapati mangsa tiada dan ibu bapa mangsa telah pergi semula ke plaza tol untuk mengambil mangsa. Mangsa dalam keadaan baik," katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam tular di WhatsApp dan media sosial gambar kanak-kanak lelaki tersebut yang dipercayai datang dari Rawang, Selangor untuk ke Zoo Taiping sebelum dikatakan tertinggal di tandas awam tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah bas awam, apabila motosikal yang ditunggangi terbabas selepas dipercayai terlanggar seekor anjing yang sedang melintas jalan dalam kejadian di Jalan Sultan Nazrin Shah, berhampiran stesen minyak Petronas Kampung Kepayang, dekat sini awal pagi tadi.

Yahaya berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu bas yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

-- BERNAMA