Karl Ho angkat budaya Negeri Sembilan menerusi penganjuran Simfoni Busana dan Budaya

Alias Zakaria (kanan) dan pereka fesyen Karl Ho menunjukkan plakad promosi dan Bunga Lado semasa sidang media penganjuran ‘Simfoni Busana dan Budaya Negeri Sembilan’ hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Pereka fesyen tempatan Karl Ho akan menganjurkan Simfoni Busana dan Budaya Negeri Sembilan bagi memartabatkan budaya serta identiti negeri beradat berkenaan sebagai tarikan utama sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Ringkasan AI
- Karl Ho anjur Simfoni Busana dan Budaya Negeri Sembilan pada 24-25 Jan 2026 di Seremban, menampilkan fesyen batik Bunga Lado dengan gabungan tradisional dan moden sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
- Acara ini bukan sekadar pertunjukan fesyen tetapi platform mengangkat warisan budaya negeri beradat, dengan kerjasama Muzium Negeri Sembilan, Jabatan Kebudayaan dan Persatuan Penggiat Busana Tradisional.
- Malam gala akan peragakan busana klasik seperti kebaya setengah tiang dan telepuk, diikuti rekaan kontemporari oleh Karl Ho; melibatkan 15-20 model untuk menyerlahkan identiti Negeri Sembilan.
"Fesyen digayakan nanti ada pelbagai rekaan yang sesuai digayakan harian sehinggalah ke majlis keraian," katanya kepada Bernama di sini.
Ho yang berpengalaman selama 22 tahun dalam bidang reka fesyen berkata motif Bunga Lado adalah manifestasi keindahan tradisi yang mampu disuntik nafas baharu dalam rekaan kontemporari.
Ho berkata simfoni itu bukan sekadar satu pertunjukan fesyen tetapi sebuah perjalanan menyelami kesenian Negeri Sembilan yang memperlihatkan bagaimana adat, seni dan kreativiti bergabung menjadi lambang kebanggaan bersama.

Pereka fesyen antarabangsa Karl Ho (kanan) menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media penganjuran ‘Simfoni Busana dan Budaya Negeri Sembilan’ bagi memartabatkan budaya serta identiti negeri beradat ini sebagai tarikan utama sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. - Foto Bernama
Anak jati Negeri Sembilan itu pernah menerima Anugerah Pereka Terbaik Dunia di pentas Milano Fashion Week menerusi koleksi rekaan berteraskan gabungan elemen batik tempatan dan estetika moden di Milan Itali, pada September lepas.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan Datuk Alias Zakaria berkata program berkenaan sangat penting dalam mengangkat warisan budaya negeri ke persada lebih tinggi selain memperkukuhkan identiti negeri beradat kepada masyarakat luar.
Alias berkata simfoni itu juga menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan seni busana tempatan berasaskan identiti sebenar Negeri Sembilan sebagai satu bentuk ekspresi moden yang boleh dibanggakan.
"Jika sebelum ini kita ada Perpatih Fest tetapi pada simfoni ini jauh berbeza, ia mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri dengan mengetengahkan busana tradisional Negeri Sembilan.
"Pada malam gala itu nanti, kami akan peragakan baju lama zaman dulu-dulu yang memakai kebaya setengah tiang dengan telepuk dan disusuli dengan persembahan pakaian kontemporari yang direka oleh Ho," katanya, sambil menambah kira-kira 15 ke 20 model akan menggayakan busana tradisional dan moden itu nanti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami