Karpal Singh — atau hanya Karpal — sudah jadi seorang legenda semasa saya memulakan kerjaya sebagai seorang peguam muda di firma guaman Skrine & Co. pada akhir 1980-an.

Ada rasa gementar yang menyeronokkan dan penuh drama bagi peguam-peguam muda seperti kami sekiranya Karpal ada di mahkamah. Kami akan menyelinap masuk ke kamar perbicaraan dan melihat dia beraksi. Orangnya tinggi dan besar; mengagumkan dan kelihatan tidak gentar ketika dia mengendalikan apa yang kami anggap sebagai kes-kes yang 'sukar' seperti membela Barlow dan Chambers serta berdepan dengan DP Vijandran.

Apabila dikenang-kenang semula, saya selalu merasakan tatkala kami sibuk mengejar waktu kerja yang boleh mendatangkan wang dan melayani klien korporat, dia sibuk menempa sejarah.

Semasa saya sudah mula menjadi penulis sepenuh masa, Karpal sudah jadi teramat penting. Dia sudah menjadi seorang pendukung kuat lagi tegas kepada keadilan dan Malaysia yang sekular: konsisten dan tidak berhenti mempersoalkan keadaan.

Saya masih ingat bagaimana saya datang tanpa diundang menyertai satu perhimpunan penyokong Pakatan Rakyat di Puchong yang merayakan kejayaan pilihan raya 2008 yang bersejarah.

Pada mulanya, orang ramai bersorak memberikan sambutan hangat apabila Teresa Kok tiba. Sebagai tokoh 'kesayangan' DAP, ia adalah sesuatu yang dijangkakan. Beberapa minit kemudian, Karpal tiba bersama ahli keluarganya. Selepas tidak pernah bertemu dengannya selama bertahun-tahun, saya agak terkejut melihat betapa tubuhnya sudah susut — kesan kemalangan yang dialaminya pada 2005. Biarpun tubuhnya susut, dia memiliki aura tertentu — duduk di kerusi roda dengan tenang dan tertib — ketika orang ramai di kelilingnya riuh-rendah dengan penuh semangat yang ditiupkan oleh Teresa.

Oleh kerana hampir semua hadirin itu terdiri daripada etnik Cina, saya ingin tahu kenapa dia begitu dihormati. Maka, saya bertanya kepada salah seorang hadirin.

Wanita itu menjawab ringkas: "Kami sayangkan dia kerana dia mewakili kami semua: kaya atau miskin, Cina, Melayu atau India. Dia berani dan jujur."

Karpal Singh adalah seorang warga Malaysia yang sejati. Perjalanan politiknya bermula pada 1974 selepas terpilih sebagai ahli dewan undangan negeri Alor Setar. Selepas itu, dia menang kerusi parlimen Jelutong pada 1978 dan mempertahankannya sehingga 1999 — sehingga diberikan julukan yang terkenal sebagai 'Harimau Jelutong'.

Dia juga merupakan ADUN Bukit Gelugor dari 1978 hingga 1990. Dia seterusnya terpilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor pada 2004 dan berjaya mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya 2008 dan 2013.

Sebagai orang ahli politik, dia tidak sunyi daripada kontroversi. Kritikannya tajam. Dialah orangnya yang mengatakan hitam itu hitam, putih itu putih dan menyerang lawannya dengan pendirian yang tegas itu.

Ketika mana hanya ada beberapa baris saja kerusi pembangkang dan lama sebelum wakil rakyat seperti Nurul Izzah, Tony Pua dan Rafizi Ramli muncul, kehadiran Karpal yang cukup dramatik sangat menarik dan merancakkan debat umum apabila bertegang urat dengan tokoh seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau tegas menentang konsep negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Biarpun pendiriannya itu mengeruhkan hubungan antara PAS dan DAP, ia mencerminkan perbezaan ideologi yang asas yang beliau tangani tanpa berselindung.

Walaupun ada segelintir pihak yang melihat ketegasannya enggan menerima hudud sebagai 'anti Islam' atau 'anti Melayu', realitinya ialah dia tergolong di kalangan generasi yang komited kepada identiti Malaysia yang lebih luas dan jauh lebih inklusif.

Karpal menanggung beban kerana keberanian dan ketegasannya. Pada 1987, dia ditahan di bawah ISA yang kini sudah dimansuhkan semasa Operasi Lalalng. Awal tahun ini, dia disabitkan tuduhan menghasut — keputusan mahkamah yang dia sendiri terima dengan tenang.

Namun, tidak ada siapa yang boleh menafikan dia terus memberikan tumpuan kepada kebenaran selama dia berjuang menentang ketidakadilan dan seterusnya membentuk landskap politik negara.

Di Malaysia yang pemimpinnya semakin hari tidak boleh mengucapkan apa yang mereka maksudkan — atau lebih teruk lagi, tidak mengotakan apa yang mereka kata, kehilangan sosok seperti Karpal yang berterus terang dan mempunyai akal undang-undang yang tajam adalah satu tamparan kepada negara.