PUTRAJAYA:Tiada anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terlibat dalam kes kartel daging import haram yang dibongkar di Senai, Johor baru-baru ini, kata Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Dalam sidang media selepas majlis serah tugas dan perarakan paluan berundur bersempena persaraan beliau di sini hari ini, Iskandar Halim berkata tiada siasatan dalaman perlu dibuat terhadap anggota penguat kuasa KPDNHEP berhubung kes berkenaan kerana proses import bukan bidang kuasa KPDNHEP.

Beliau berkata pembabitan KPDNHEP dalam siasatan kes itu adalah atas penyalahgunaan perkataan halal serta label lain terhadap daging tersebut yang digunakan dalam urus niaga syarikat terlibat.

BACA: Kartel daging haram: Daging babi tidak ditemui, siasatan sedang dijalankan - Menteri

"Siasatan bukan berkait sijil halal tetapi lebih kepada penggunaan perkataan halal yang digunakan terhadap daging import tersebut sama ada kebenaran itu diberikan oleh pihak berkuasa yang berwibawa," katanya.

BACA: Taktik kartel seludup daging beku, guna cap halal palsu terbongkar

Selain itu, beliau berkata anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara juga diarahkan menyiasat daging tersebut "dibawa ke mana", sama ada dijual semula kepada rakyat atau kepada restoran.

"Siasatan dijalankan untuk melihat ke mana daging-daging import tersebut dihantar. Ini sedang dikesan oleh pegawai KPDNHEP berdasarkan invois. Jika dikesan daging tersebut dijual di restoran dan disimpan di dalam bilik sejuk beku, daging akan dirampas," katanya.

Menurutnya, syarikat terbabit dijangka didakwa dalam masa terdekat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru menurut Akta Perihal Dagangan 2011.

Majlis hari ini turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalannya Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Iskandar Halim yang berkhidmat sebagai penjawat awam hampir 40 tahun, dilantik sebagai Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP pada 2019. Beliau bersara wajib bermula esok.

Antara sumbangan beliau ialah menambah baik logistik penguatkuasaan, memperkasa dan mempeluas skop Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dalam perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

-- BERNAMA