KOTA TINGGI: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memperuntukkan RM15 juta untuk membina struktur kawalan dan sistem pam air di Pengerang sebagai langkah jangka masa panjang mengatasi masalah banjir yang berlaku di kawasan itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata peruntukan itu diberi setelah mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan kemasukan pelabur di kawasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) pada masa hadapan.

"Dalam kes banjir baru-baru ini, ia berlaku kerana air di kawasan berkenaan tidak dapat masuk ke sistem saluran sedia ada. Jadi kita telah mengenal pasti kawasan yang memerlukan pam dan akan menyediakan secukupnya.

"Pemasangan juga akan dibuat secepat mungkin setelah selesai pelbagai urusan termasuk pengambilan tanah," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi banjir di Taman Bayu Damai dan Kampung Sungai Kapal Lama di sini, semalam.

Ahmad Masrizal berkata selain pembinaan sistem pam itu, KASA juga mempertimbang untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bersama antara pihak Majlis Daerah, agensi kerajaan dengan badan-badan bukan kerajaan bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih tuntas.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Majlis Daerah turut akan menjemput pemimpin-pemimpin tempatan untuk membolehkan mereka berbincang mengenai segala permasalahan dihadapi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang turut mengikuti lawatan kerja berkenaan berharap pihak industri di PIPC dapat bersama-sama memikul tanggungjawab permasalahan banjir itu dengan pihak kerajaan.

Katanya, ini kerana sejak pembangunan pesat berlaku di kawasan terbabit, kejadian banjir semakin memburuk dengan yang berlaku baru-baru ini merupakan kejadian yang paling teruk.

"Bencana banjir ini berlaku memang disebabkan isu alam sekitar. Tetapi masalah ketika ini adalah air yang bertakung tiada laluan keluar dan situasi ini bermula selepas projek mega ini diwujudkan.

"Sepatutnya apabila terdapat projek antarabangsa bernilai tinggi seperti ini, kesannya kepada alam sekitar adalah positif dan lancar tetapi sebaliknya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berharap syarikat antarabangsa terlibat tidak hanya meletakkan tanggungjawab menyelesaikan bencana banjir itu pada bahu kerajaan dan wakil rakyat semata-mata, sebaliknya turut sama membantu.

-- BERNAMA